Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 30 Mei. - Majlis Doa Kesyukuran sempena memperingati Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Ke-65 diadakan lewat petang tadi di semua surau Kementerian Pertahanan dan ABDB, termasuk Masjid Pulau Baru-Baru, dengan tumpuan utama yang berlangsung di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison, di sini.
Majlis di Surau Ad-Difa' disemarakkan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia ialah paduka adinda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Anbiyaa ayat 92 hingga 95 yang dibacakan oleh Soldadu (U) Masrur Fu'ad bin Haji Asmat dari Cawangan No. 5, Kumpulan Bantu, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), yang juga merupakan Juara Qari Musabaqah Tilawah Al-Quran peringkat ABDB bagi tahun 2024 dan 2025.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib dan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Acara diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil serta Doa Kesyukuran sempena Sambutan HUT ABDB Ke-65 sebelum diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.
Selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat ke Mes Pegawai, Bolkiah Garison dan berkenan bagi sesi bergambar ramai serta menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam sebelum meninggalkan majlis.
Turut hadir ialah mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan dan mantan-mantan Pemerintah ABDB, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan Jawatankuasa Eksekutif ABDB serta seluruh pucuk kepimpinan Kementerian Pertahanan.
Majlis Doa Kesyukuran tersebut diadakan bagi memohon keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala agar ABDB sentiasa dikurniakan kekuatan, perlindungan dan kejayaan dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan negara, integriti wilayah serta menegakkan Perlembagaan Negara dan prinsip-prinsip falsafah Melayu Islam Beraja.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)